WeLcOmE: Http://saiful-anis.blogspot.com Headline Animator

Transformers Revenge of The Fallen

Tuesday, August 12, 2008

MaLaYSiaKiNi: PeNTaDBiR IPTA 'LeBiH SeNDuK DaRiPaDa KuaH' (GRieVaNCeS AGaiNsT ARRoGaNT BuReuCRaT-MY PuBLisHeD CoMMeNT)....

P/s: This was my related comments cum grievances on the above issue cited from the local newspaper (Utusan Malaysia Online: 13 December 2006) entitled - "Keluhan Profesional Terhadap Birokrat". I'm quite sure that the problems not just occurred at the IPTA, but other government's research based agencies as well (MARDI, FRIM, MINT and etc.)

Keluhan profesional terhadap birokrat

RANCANGAN Malaysia Ke-9 (RMK-9) bakal mengorak langkahnya tahun depan. Pelaksanaan yang rapi, tersusun dan sistematik adalah misi utama bagi memastikan dasar yang bakal dilaksanakan itu mencapai sasarannya.

Saya merupakan salah seorang kakitangan kerajaan bukan profesional elit pembuat dasar yang rata-ratanya terdiri daripada golongan pegawai pentadbiran. Saya adalah salah seorang daripada golongan profesional pelaksana kepada dasar yang mereka wujudkan dan bezanya hanyalah saya adalah pelaksana dasar yang banyak mencakupi dalam bidang teknikal seperti kejuruteraan, sains, penyelidikan dan sebagainya.

Apa yang ingin saya timbulkan adalah perihal etika, identiti dan kesedaran untuk segelintir golongan pembuat dasar ‘cum’ pegawai pentadbiran yang perlu diperjelaskan agar misi negara untuk melahirkan modal insan yang beretika, telus, adil dan cemerlang dalam hal ehwal pentadbiran dapat dilaksanakan.

Sepanjang pengalaman saya bertugas dalam sektor awam, boleh dikatakan wujudnya segelintir golongan pentadbir ini yang mempunyai krisis identiti dan etika yang agak membimbangkan dan dikhuatiri boleh menjadi duri dalam daging kepada sesuatu jabatan atau organisasi kerajaan. Tetapi tidaklah semuanya mempunyai masalah tersebut kerana ada antara mereka yang begitu berhemah, telus dan adil, beretika dan mengamalkan ciri-ciri pentadbir yang berkarisma ketika berurusan dengan mereka.

Untuk rekod, saya kerap kali berurusan dengan golongan ini dalam memastikan dasar yang mereka wujudkan terjamin kelancarannya. Urusan tersebut di luar bidang khusus saya iaitu mencakupi soal pelarasan peruntukan semasa dan akan datang, pelantikan staf teknikal, permohonan kursus, pembelian peralatan dan sebagainya. Malangnya, ada antara urusan penting di atas kerap kali menjadi rumit dan tergendala dengan kewujudan sindrom ‘gila kuasa’, krisis identiti dan etika yang serius di kalangan mereka.

Peraturan

Mereka dilihat banyak menyalah guna kuasa untuk kepentingan peribadi, tidak bersikap profesional dengan staf yang mempunyai masalah peribadi dengannya, menggubal peraturan pejabat dengan sesuka hati agar bersesuaian dengan kehendaknya, berlagak pandai dalam semua hal termasuklah yang bukan dalam bidang tugasnya, egoisme dan sukar untuk ditegur jika ada kesilapan, tidak telus, tidak simbiotik dengan jabatan lain, membuat pembaziran dengan pembelian peralatan dan dekorasi pejabat yang tidak relevan, mengambil kesempatan di atas kuasa yang diberikan oleh ketua jabatan dengan membuat ugutan dan penindasan kepada staf, bersifat jumud dan mengamalkan ‘kronisme’ untuk staf yang mempunyai hubungan baik dan berkepentingan dengan dirinya.

Paling mengecewakan, segelintir golongan seperti ini suka ‘mempertuankan’ diri mereka di kalangan staf termasuklah staf profesional lain yang jauh lebih tinggi ranking perjawatan daripadanya. Kadangkala ketika berurusan dengan mereka, diri ini dilayan seperti seorang peminta sedekah kerana mereka ini akan memberikan 1001 alasan untuk tidak memberikan kerjasama serta membenarkan urusan tersebut dilaksanakan, sedangkan kebenaran dan kelulusan telah pun diperoleh daripada ketua jabatan.

Justeru mereka ini perlu sedar bahawa tugas utama seperti yang termaktub dalam deskripsi tugas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah memberi khidmat pakar runding terhadap sistem kerja serta pengurusan kakitangan dengan telus dan adil dan bukannya meletakkan diri mereka ini sebagai tampuk pemegang kuasa utama di sesuatu jabatan atau organisasi kerajaan.

Satu persoalan yang timbul ialah adakah mereka ini terlalu selesa apabila sentiasa berada di atas kerusi empuk, diberi kuasa dalam urusan kewangan dan bekerja di dalam bilik yang sentiasa berhawa dingin tidak seperti staf di jabatan lain yang terpaksa bekerja dalam persekitaran pejabat atau makmal yang tidak kondusif serta berisiko tinggi?

Tambahan pula, kebanyakan daripada mereka terutamanya bagi golongan yang menguruskan hal ehwal kewangan dan pentadbiran, secara tidak langsung telah menganggap mereka adalah golongan yang mempunyai kuasa ‘veto’ dalam penentuan sesuatu perkara termasuklah urusan di jabatan yang lain.

Kelancaran

Mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa hakikat kewujudan jawatan pegawai pentadbiran adalah untuk mewujudkan dasar-dasar semasa yang relevan dan membantu kelancaran urusan jabatan yang lain secara kolektif dan bukannya secara diktator. Dengan lain perkataan, sentiasa bersikap proaktif dan telus terhadap kehendak staf yang lain, tidak mencampurkan masalah peribadi dengan kerja dan sentiasa menyokong dengan penuh keikhlasan apa jua urusan serta pembaharuan yang relevan dengan kehendak jabatan.

Selain itu, mereka juga perlu ingat ada lagi golongan profesional lain yang jauh lebih penting dan lebih tinggi taraf perjawatan daripada mereka walaupun tunjang utama pengurusan sesuatu organisasi pentadbiran adalah daripada golongan ini. Daripada apa yang berlaku ini, asasnya adalah pada ketua jabatan yang bijak, prihatin dan tidak terlalu menyerahkan kuasa pentadbiran dengan sewenang-wenangnya tanpa ada 'check and balance' untuk setiap urusan yang berjalan di jabatan tersebut.

Ketua jabatan seharusnya menyedari dan berwaspada kerana wujud segelintir golongan seperti ini yang sentiasa cuba mengambil kesempatan di atas kealpaan dan ketua jabatan juga perlu sentiasa memperingatkan mereka supaya tidak ‘mempertuankan diri’ dengan sewenang-wenangnya terutamanya kepada pegawai bukan pentadbiran di jabatan lain yang jauh lebih tinggi perjawatan daripada mereka.

Di samping itu, golongan pentadbir ini juga perlu sentiasa diberikan latihan dan kursus jati diri yang bersesuaian agar mereka ini selalu ditanamkan dengan sifat merendah diri, telus dan adil agar mereka ini tidak lagi beranggapan bahawa merekalah golongan yang mempunyai kuasa penuh dalam sesuatu urusan pentadbiran. Yang paling penting, dalam memastikan sektor perkhidmatan awam sentiasa bersih, cekap dan tidak dipandang serong oleh masyarakat adalah keinginan kita dalam mewujudkan sifat bantu membantu antara satu sama lain (simbiosis) serta mengikis sifat prejudis sesama staf.

ANTI GIPANG a.k.a GILA PANGKAT,
Kuala Kangsar, Perak.


#SNIPPET FROM MALAYSIAKINI.COM: Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dijadual dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang tidak membantu meluaskan ruang kebebasan ahli akademik dan pelajar. "Masalah di universiti, penguasaan golongan pentadbir yang lebih senduk daripada kuah," kata pensyarah kanan di jabatan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Ahmad Nidzamuddin Sulaiman hari ini. Read here